Awas ‘geng plastik hitam’!

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) akan menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang Ramadan ini.

Pengarahnya Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pelaksanaan oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan itu merangkumi premis makanan yang menjual makanan kepada umat Islam secara terbuka pada waktu siang.

Beliau berkata, Jais komited menjalankan pemantauan berterusan itu bagi memastikan kesucian Ramadan terpelihara, lapor Harian Metro.

“Kita akan pantau penjualan makanan kepada mereka yang tidak berpuasa terutama di kawasan terbuka.

“Individu itu boleh didakwa mengikut Seksyen 19 Enakmen 9 Tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana tidak menghormati Ramadan.

“Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Semalam, media melaporkan mengenai nasihat Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) kepada pengusaha supaya tidak bersekongkol dengan ‘geng plastik hitam’ pada bulan puasa.

Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya berharap pengusaha restoran tidak mengambil mudah isu hukum agama terutama membabitkan ponteng puasa.

Katanya, pengusaha juga perlu memikirkan soal keberkatan di dalam berniaga dan tidak membuka ruang kepada mereka yang tidak berpuasa dengan sengaja membeli makanan pada bulan Ramadan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights