BAKAL jemaah haji tahun ini wajib menjalani pemeriksaan di klinik yang diiktiraf untuk memastikan kesihatan mereka berada pada tahap optimum.
Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mereka mengekalkan kriteria pemeriksaan kesihatan bagi bakal haji Malaysia musim haji 1444H/2023 seperti tahun sebelumnya.
Menurutnya, walaupun Malaysia kini menuju ke fasa endemik, kerajaan harus menghormati keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang masih mengklasifikasikan Covid-19 sebagai pandemik.
Katanya, ia juga sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan semua bakal jemaah haji Malaysia berada pada tahap yang baik dari segi fizikal dan mental untuk melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.
Antara kriteria pemeriksaan kesihatan di bawah Garis Panduan itu termasuk indeks jisim badan (BMI) tidak melebihi 40, penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes yang stabil, tiada penyakit yang serius seperti kanser dan penyakit paru-paru yang kronik.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemeriksaan kesihatan bakal haji adalah aktiviti penting yang dijalankan oleh KKM dengan kerjasama TH ke atas setiap bakal haji yang akan menunaikan fardu haji ke tanah suci setiap tahun.
“Ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental, maka aspek kesihatan harus dititik beratkan oleh semua bakal haji bermula di tanah air lagi.
“Ketika di tanah suci, jemaah haji juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka semasa berada di tempat sesak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata saringan kesihatan yang ketat pada musim haji lalu adalah satu langkah yang berkesan apabila peratusan jemaah haji yang mendapatkan rawatan pesakit luar dan dimasukkan ke dalam wad amat rendah berbanding tahun sebelum ini.
“Ia selaras dengan peraturan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi dan KKM iaitu setiap bakal jemaah haji Malaysia wajib menjalani pemeriksaan kesihatan oleh doktor di klinik yang diiktiraf.
“Langkah ini adalah bagi memastikan jemaah haji Malaysia berada pada tahap kesihatan yang optimum,” katanya yang turut memaklumkan surat tawaran haji akan dikeluarkan bermula Rabu ini.
Katanya, semua bakal haji Malaysia boleh menyemak dan menjawab tawaran haji melalui www.thijari.com.my atau memuatnaik aplikasi THiJARI bagi tujuan tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan TH, orang ramai boleh melayari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919. – Malaysiapost