Cadangan cagaran wang KWSP antara tumpuan Dewan rakyat hari ini

CADANGAN supaya pencarum dapat membuat pinjaman bank dengan cagaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) bertanya kepada Perdana Menteri mengenai justifikasi cadangan itu.

Beliau juga mahu tahu berapakah kadar faedah dikenakan kepada pencarum yang layak dipertimbang untuk skim berkenaan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Selain itu, soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Perdana Menteri turut dijanga menarik perhatian iaitu sama ada Lim Guan Eng (PH-Bagan) telah membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary dan sebab pembatalan dibuat jika ada, ketika menjadi Menteri Kewangan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) pula ingin tahu sama ada Kementerian Pendidikan boleh mempermudah urusan perolehan dan pembelian alat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) oleh pihak sekolah seperti mesin cetak, komputer dan komputer riba pada sesi soal jawab lisan.

Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan apakah kerajaan melalui kerjasama pelbagai kementerian sedia menjalankan ujian penghasilan bio bahan api daripada minyak kelapa sawit seperti yang dilakukan Indonesia.

Selesai sesi tersebut, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Kesihatan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights