Isteri dakwa Hafidz Roshdi lafaz talak dua kali

MAHKAMAH Rendah Syariah Shah Alam hari ini, menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes cerai pelakon, Muhammad Hafidz Roshdi dan isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri.

Ia selepas terdapat isu baharu apabila Nurul Shuhada mendakwa suaminya melafazkan cerai terlebih dahulu melalui aplikasi WhatsApp, pada 22 Januari lalu.

Berikutan itu, Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh 9 Mei depan selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz memohon satu tarikh lain bagi menjawab tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai tersebut.

“Kami terima salinan penyata pembelaan bersama tuntutan balas, semalam. Namun, kami terkejut melihat kandungan tuntutan balas mendakwa Hafidz melafazkan cerai lebih awal iaitu 22 Januari lalu.

“Sedangkan dalam permohonan cerai hari ini, lafaz dibuat pada 22 Februari. Ini bermakna sebelum 22 Februari ada lagi talak dilafaz terhadap Nurul Shuhada. Oleh itu, kami mohon tarikh baharu untuk menjawab terhadap tuntutan balas ini,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf yang mewakili Nurul Shuhada mengesahkan sudah memfailkan satu pembelaan dan tuntutan balas berhubung isu lafaz cerai.

“Lafaz cerai pertama dilakukan dalam aplikasi WhatsApp pada 22 Januari. Kami tiada bantahan sekiranya mahkamah menetapkan tarikh lain bagi sebutan semula kes,” katanya.

Sebelum ini, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk hingga mencederakan Nurul Shuhada di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Selangor, 2 Mac lalu.

Pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan cara menumbuk menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 selain tertuduh perlu menjalani rawatan psikiatri dan pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak pada 28 Mac ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights