KETUA Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya mengingatkan pihak tertentu supaya tidak berterusan menyalakan api Islamofobia dengan tuduhan melulu terhadap mereka yang memperjuangkan agama.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu, berkata tuduhan ekstrem terdahap PAS dan usaha membangkitkan Islamofobia oleh pemimpin parti lawan disifatkan sebagai ‘grand design’ ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.
“Kesemua ini dilakukan demi memastikan ‘swing voters’ selepas kekalahan besar Pakatan Harapan dalam kalangan pengundi muda dan Melayu-Islam.
“Bagaimanapun, ia tidak (akan) mampu mengubah perspektif rakyat yang menilai prestasi semasa Kerajaan Persekutuan secara objektif.
“Ketiadaan dasar yang ‘coherent’, substantif serta bersepadu dalam menyelesaikan permasalahan asas rakyat jelas menunjukkan hala tuju dasar Kerajaan Persekutuan ketika ini semakin tersasar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa mengajak ahli PKR bersikap ‘menyerang’ terhadap kenyataan ahli politik yang berkeras mempolitikkan agama.
Dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional Khas PKR Sabtu lalu, Saifuddin mengetengahkan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menurutnya dibuat secara jelas menentang titah diraja.
“Memang dalam Islam ada politik, tapi kita dituntut berpolitik secara agama, bukan mempolitikkan agama,” kata Saifuddin.
Sementara itu, Ahmad berkata, gesaan menyerang golongan yang berpolitik berpandukan agama, ibarat menentang seruan yang dianjurkan di dalam al-Quran.
“Islam adalah agama bernegara dan politik adalah jalan mentadbir urus negara dengan agama. Politik menjadi tunjang agama malah sebahagian besar para Rasul dan sahabat utama Nabi SAW merupakan ahli politik.
“Justeru, tidak layak bagi seseorang memperkecilkan hubungan politik dan agama,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sedar bahawa mereka cuba mensudutkan perjuangan agama dengan gelaran ekstremisme yang menyeleweng.
“Namun, tidaklah menghairankan bagaimana Islamofobia cuba dihalakan kepada perjuangan Islam dengan pelbagai alasan yang direka-reka,” katanya. – Malaysiapost