KERAJAAN menubuhkan Majlis Madani bagi menterjemahkan konsep kerajaan Madani serta melaksanakan program sesuai dengan gagasan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis itu akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan pelbagai program berkonsepkan masyarakat Malaysia Madani .
“Apa yang penting, kita mahu mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menterjemahkan pelaksanaan falsafah dan konsep masyarakat Madani ini supaya difahami dan menyantuni semua pihak.
“Konsep dan falsafah madani ini perlu menyantuni kepelbagaian agama, budaya bahasa dan latar belakang masyarakat,” katanya selepas menutup Konvensyen Perpaduan NGO Islam 2023, hari ini.
Konvensyen itu dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dihadiri wakil 150 NGO Islam seluruh negara.
Ahmad Zahid menjelaskan, perincian berhubung majlis itu akan dibuat Anwar.
Menurutnya, Majlis Madani itu juga bagi membolehkan pembabitan semua pihak dalam menterjemahkan prinsip Malaysia Madani.
Katanya, adalah diharapkan dengan adanya majlis itu bukan saja konsep itu difahami tetapi ia diterjemah melalui pelaksanaan program yang berstruktur.
Beliau menjelaskan konsep Madani itu bukan hanya untuk orang Islam saja tetapi rakyat seluruhnya sesuai dengan latar masyarakat majmuk di negara ini.
Terdahulu dalam ucapannya beliau mengajak NGO Islam menterjemahkan konsep Madani dengan menyantuni agama lain tanpa berkompromi dengan prinsip Islam.
“Menyantuni tanpa berkompromi dengan prinsip ini sering kali disalah tafsir oleh sesetengah pihak yang mereka dakwa akan melunturkan nilai Melayu dan Bumiputera di negara ini.
“Dalam prinsip masyarakat Madani ini kita melakukan bukan untuk memberikan kesemarataan tetapi kesaksamaan bagi keadilan kepada masyarakat,” katanya. – Malaysiapost