DRAF cadangan untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah, sudah disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ia antara komitmen kementeriannya untuk memastikan tiada anak-anak yang tercicir dalam pendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.
“Untuk makluman, KPM dalam konteks hari ini sudahpun menyediakan draf untuk memastikan peringkat sekolah menengah wajib. Draf ini sudah pun kita sediakan dan serah kepada Pejabat Peguam Negara.
“Ini untuk memastikan anak-anak kita tidak ada yang tercicir baik diperingkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Ini komitmen kita dalam memastikan tiada siapa yang tercicir dalam bidang pendidikan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk R Nelson yang ingin tahu bilakah KPM akan mewajibkan pelajaran di peringkat sekolah menengah untuk memastikan pelajar tidak tercicir selepas tamat sekolah rendah.
Fadhlina menjelaskan, berdasarkan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Akta Pendidikan 1996 hanya setakat Darjah 6 sahaja, ibu bapa diwajibkan menghantar anak mereka ke sekolah.
“Ingin saya maklumkan, benar setakat ini berdasarkan Akta Pendidikan Negara dan Dasar Pendidikan Wajib hanya setakat Darjah 6 sahaja.
“Tetapi komitmen KPM, telah kita panjangkan dan sebar luaskan. Antara lain kita juga telah mengadakan program Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) dan K11.
“K9 akan memastikan anak-anak tidak tercicir daripada Darjah 1 sehingga Tingkatan 3 dan K11 akan memastikan anak-anak akan terus berada di sekolah daripada Darjah 1 sehingga Tingkatan 5,”
Fadhlina berkata, bagi program K11 baru semalam ada dilaksanakan membabitkan sebuah sekolah di Kuala Lipis, Pahang dan sebuah lagi di Long Bedian, Sarawak. – Malaysiapost