SETIAUSAHA Eksekutif Majlis Ulama Umno (MUU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berharap pertemuan dengan ulama Palestin yang berlangsung hari ini, dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan ulama antarabangsa.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu berkata, beliau mewakili MUU menghadiri program yang berlangsung enam hari bermula 18 hingga 23 Mac ini.
“Antara perkara penting yang kami bincangkan berkaitan usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan ulama di peringkat antarabangsa.
“Mereka yang hadir ialah Koordinator Forum Ulama Palestin Sheikh Dr Abdullah Kattamto; bekas Pengarah Iftaa Syria Sheikh Dr Alaeddin Zaatari, Ahli Majlis Ulama Palestin di Lubnan Sheikh Dr Abdullah Ghazzawi dan Pendakwah Beirut dan Mount Lebanon, Sheikh Dr Bashar Al-Ali,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, beliau berharap dengan siri pertemuan itu akan memberikan manfaat kepada ummah khususnya umat Islam di Malaysia.
“Pertemuan hampir dua jam itu turut dihadiri oleh Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang dan Timbalannya, Datuk Abdul Ghani Samsudin dan Presiden Kolej Dar al-Hikmah Datuk Dr Muhammad Nur Manuty,” katanya. – Malaysiapost