KWSP sebagai cagaran bank tidak membebankan, faedah rendah

KERAJAAN sedang memuktamadkan Inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 bagi ahli yang mempunyai simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mendapatkan sumber kewangan tanpa perlu mengeluarkan simpanan mereka.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata, inisiatif itu akan memberi kemudahan kepada ahli KWSP menggunakan baki simpanan dalam Akaun 2 sebagai sandaran bagi mendapatkan pembiayaan daripada institusi perbankan.

Jelasnya, inisiatif itu tidak akan membebankan rakyat kerana kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh institusi perbankan yang terlibat di dalam inisiatif ini dijangka antara 4 peratus hingga 5 peratus setahun.

“Kadar itu adalah jauh lebih rendah daripada kadar pasaran semasa pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang dikenakan pada sekitar lapan hingga 15 peratus,” katanya.

Menurut MOF, inisiatif itu juga tidak bercanggah Seksyen 51, Akta KWSP 1991 kerana baki simpanan dalam Akaun 2 hanya digunakan sebagai sandaran melalui pengeluaran pada umur persaraan.

“Ini adalah selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah dana persaraan jangka panjang untuk melindungi dan menambah nilai simpanan ahli melalui pengisytiharan kadar dividen yang stabil dan mampan,” katanya.

Menurutnya, maklumat terperinci mengenai inisiatif itu akan diumumkan oleh KWSP kelak.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan menegaskan kerajaan tidak akan pertimbangkan sebarang pengeluaran tambahan baharu simpanan KWSP kerana pengeluaran khas tersebut merupakan langkah untuk membendung impak Covid-19.

“Malah, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), semua negara yang telah membenarkan pencarum untuk mengeluarkan sebahagian daripada tabung persaraan mereka semasa pandemik telahpun memberhentikan fasiliti pengeluaran awal daripada tabung persaraan sejak 2021,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights