MALAYSIA akan menyumbangkan sebahagian daripada aset-aset Hospital Medan Malaysia kepada Kerajaan Turkiye bagi membantu pemulihan perkhidmatan kesihatan di negara itu.
Perkara berkenaan dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada rakan sejawatnya, Hulusi Akar ketika mengadakan pertemuan di Kementerian Pertahanan Nasional, Ankara.
Mohamad berada di Turkiye bagi lawatan rasmi tiga hari ke republik itu bermula Ahad lalu.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, Mohamad turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga serta rakyat Turkiye yang telah terjejas akibat bencana gempa bumi pada 6 Februari lalu.
“Mohamad turut menzahirkan solidariti Malaysia bersama Turkiye yang sedang menghadapi keadaan mencabar masa ini dan komitmen Malaysia bagi membantu negara berkenaan dan rakyatnya,” katanya.
Dalam lawatan itu, Mohamad turut melawat Hospital Medan Malaysia yang terletak di Celikhan, Adiyaman.

Beliau telah diberi taklimat oleh Brigadier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah mengenai hospital medan tersebut sejak mula beroperasi pada 15 Februari lalu.
“Hospital Medan Malaysia telah memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat dan kawasan berdekatan yang telah terjejas akibat bencana gempa,” katanya.
Mohamad turut mengambil kesempatan meluangkan masa beramah mesra dan berinteraksi dengan petugas bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negara. – Malaysiapost