MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) akan mempertimbangkan hasrat tiga anak pegawai polis, Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam serangan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia sebagai menepati komitmen yang telah diberi agensi itu sejak 10 tahun lalu.
“MARA peka dengan perkembangan ini dan saya telah mengarahkan tindakan susulan diambil dengan kadar segera.
“Alhamdulillah, hari ini, saya dan pengurusan MARA dapat bertemu dengan Pn Noraziah (balu Allahyarham) dan tiga anaknya, Akmal (15 tahun), Aqil (11 tahun) dan Aqib (10 tahun) untuk mendengar sendiri pengalaman keluarga perwira negara ini,” katanya menerusi Facebook.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, MARA tidak berkompromi terhadap pencapaian pelajar dan ketiga-tiga mereka perlu melepasi ujian kecenderungan kemasukan MRSM yang diwajibkan terhadap semua kemasukan.
“Paling penting kita tidak pernah berkompromi soal kualiti. Kita melihat perkara pertama dalam aspek untuk membantu macam-mana sekali pun kita ada kreteria minima kemasukan dan semua pelajar perlu mengambil peperiksaan UKKM yang melibatkan empat mata pelajaran.
“Selain daripada keputusan prestasi cemerlang di sekolah masing-masing yang paling utama UKKM,” katanya.
Sebelum ini, Nooraziah mendakwa ada pihak termasuk agensi kerajaan seperti MARA menjanjikan bantuan pendidikan peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi kepada anak-anaknya.
Namun dia mendakwa, selepas 10 tahun tragedi berdarah itu berlalu, perkara itu belum ditunaikan.
Dalam pada itu, Asraf Wajdi berkata, beliau amat tersentuh dengan hasrat Akmal yang bersungguh-sungguh mahu menjadi seorang pegawai polis seperti bapanya. – Malaysiapost