AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membantah cadangan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar khusus untuk masyarakat elit berpendapatan tinggi.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, objektif asal penubuhan MRSM adalah untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan dan bukan untuk berstatus elit.
“Bantu yang susah, bukan yang senang. Pendidikan adalah jalan untuk anak-anak B40 keluar dari kepompong kemiskinan.
“Inilah objektif asal MRSM, untuk bantu mereka yang tak mampu, bukan untuk yang berstatus elit, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, ibu bapa yang berpendapatan tinggi perlu faham bahawa mereka mempunyai pilihan untuk menghantar anak-anak mereka mendapat pendidikan terbaik termasuk swasta.
“Nak pergi KYS pun boleh, Sri Cempaka, KDU pun boleh. (Namun) mereka yang kurang bernasib baik mempunyai pilihan yang terhad.
“Anak-anak B40 sangat bergantung kepada bantuan kerajaan. Kena kembali ke tujuan asal MRSM, tingkatkan kemasukan pelajar B40 dan berikan mereka akses kepada pendidikan yang berkualiti,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mencadangkan supaya MARA memberi fokus untuk menambah baik fasiliti MRSM dengan menggunakan peruntukan sedia ada.
“Salurkan juga bantuan untuk anak-anak yang datang dari keluarga berpendapatan rendah. Jangan rampas peluang pendidikan orang lain,” katanya.
Semalam, media melaporkan, MARA sedang meneliti cadangan mewujudkan MRSM ‘berbayar’ yang dirangka khas bagi segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan MRSM berbayar tersebut mungkin boleh diuruskan oleh MARA Corporation (MARA Corp).
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak sesekali boleh dikompromikan soal falsafah, orientasi dan budaya pendidikan yang menjadi ekosistem MRSM, termasuk kurikulum Ulul-Albab agar kualiti dan konsistensi penyampaian terpelihara. – Malaysiapost