MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor mendapatkan sementara pasportnya semula untuk ke Singapura bagi melawat ahli keluarga, termasuk seorang cucu yang sakit.
Keputusan dibuat tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah, lapor Berita Harian.
Mereka membenarkan pasport isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dikembalikan kepadanya untuk ke Singapura bermula Khamis ini sehingga 5 Mei, dan akan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 10 Mei 2023.
Terdahulu peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, memohon pasport dikembalikan sementara bagi membolehkan anak guamnya melawat anak perempuan, menantu dan dua cucu lelaki, termasuk seorang yang sakit di negara jiran tersebut.
“Permohonan supaya Rosmah dapat ke Singapura pada 23 Mac dan pulang kembali ke negara ini pada 5 Mei depan. Anak guam akan meluangkan masa di negara itu selama enam minggu memandangkan ada cuti Aidilfitri.
“Saya difahamkan pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan yang dibuat, dan pasport akan dipulangkan seminggu selepas anak guam pulang dari Singapura,” katanya.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, mengesahkan tidak membantah permohonan berkenaan.
“Saya mohon pasport Rosmah dipulangkan semula ke mahkamah pada 10 Mei depan,” katanya.
Rosmah kini mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Pada 1 September tahun lalu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah, 72, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini. – Malaysiapost