PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) meluahkan kekecewaan susulan permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen gabungan itu telah ditolak.
Setiausaha Agungnya, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, adalah amat mendukacitakan iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang-orang Melayu tidak disambut oleh pemimpin PN.
“Pejuang dimaklumkan bahawa semalam Majlis Tertinggi (MT) PN telah bermesyuarat untuk antara membincangkan permohonan Pejuang menyertai gabungan PN.
“Pejuang telah dimaklumkan bahawa permohonan ini telah ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut Amiruddin, penolakan itu tidak akan menghentikan langkah Pejuang untuk kekal dalam arena politik negara.
Katanya, Pejuang akan sentiasa kekal dalam arena politik negara untuk mempertahan kedaulatan undang-undang dan membawa amanat perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.
“Dengan ini, Pejuang akan terus menggerakkan jentera di kawasan-kawasan tertentu untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.
Terdahulu, PN menolak permohonan Pejuang untuk menjadi sebahagian parti komponen dalam gabungan itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MT PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Pada awal bulan ini, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah memohon untuk menyertai parti komponen PN. – Malaysiapost