KETUA Pergerakan Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak penganjuran program ‘Thai Hot Guy’ yang bakal berlangsung pada 30 Mac ini dibatalkan.
Menurutnya, sekiranya penganjur enggan berbuat demikian, Pemuda Umno sendiri yang akan datang untuk membatalkan program berkenaan.
“Sama ada penganjur yang batalkan program ini atau kami yang akan datang batalkan sendiri.
“Cukup cukuplah!,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Tular di media sosial mengenai program ‘Thai Hot Guy’ yang difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki macho berpakaian seksi sempena pembukaan sebuah kelab di ibu negara.
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari turut membantah penganjuran program yang diadakan pada bulan Ramadan itu.
Katanya, tiada keperluan mengadakan program sedemikian terutamanya pada bulan Ramadan.
“Tiada keperluan program seperti ini diberikan kebenaran untuk beroperasi ditambah pula di bulan Ramadhan yang mulia!.
“Tolonglah, hentikan. Suarakan bantahan beramai-ramai,” katanya. – Malaysiapost