BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendakwa pengaruh bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak masih lagi kuat dalam menentukan masa depan Umno.
Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, pengaruh Najib yang cukup sinonim dengan gelaran ‘Bossku’ belum berakhir berikutan ramai penyokong tegarnya menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun parti dikawal oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun kekuatan Najib (di sebalik penjara) tidak boleh dipandang ringan.
“Datuk Ahmad Zahid memang kuat, tetapi kalau kita tengok dengan teliti dan sebagai contoh, barisan baharu dalam MKT saya nampak ramai mereka sebenarnya kalangan penyokong tegar Bossku (Najib).
“Macam saya katakan tadi jangan pandang ringan, suara di belakang (di penjara), suara yang ada sekarang ini dan pengaruh suara itu menentukan masa depan Umno,” katanya dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Menurut Khairy, antara penyokong kuat Najib ialah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Lokman Noor Adam.
Khairy, yang dipecat Umno Januari lalu, turut menamakan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil yang merupakan bekas pegawai khas Najib, dan Datuk Johan Abdul Aziz, sebagai penyokong bekas Perdana Menteri itu dalam MKT.
“Saya nak sebut dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ mengenai pandangan saya dan pendengar pun tahu pandangan saya selepas kekalahan 2018 (PRU14) berkenaan Bossku, tetapi saya katakan, Bossku masih menjadi kekuatan yang perlu diambil kira.
“Kalau kita lihat, ada cap jari Bossku dalam senarai pemenang (MKT). Bukan Zahid sangat yang mempengaruhi Umno, tetapi Zahid dan Bossku…Jadi, sebab itu saya kata cerita Bossku belum selesai,”katanya.
Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020, selepas disabitkan dengan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Sabitan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan Mahkamah Persekutuan Ogos lalu.
Beliau kini menjalani hukuman di Penjara Kajang. – Malaysiapost