Permohonan Pejuang sertai PN ditolak

PERIKATAN Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menjadi antara parti komponen dalam gabungan itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

“Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan parti Pejuang ke Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan wakil parti gabungan itu.

Pada awal bulan ini, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah memohon untuk menyertai parti komponen PN.

Beliau dilapor berkata, keputusan itu mendapat kesepakatan dalam Majlis Eksekutif Pusat Pejuang selepas penelitian dan penilaian dibuat ke atas semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, MT PN juga telah membuat ketetapan untuk mengekalkan penggunaan lambang PN dalam pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

“Manakala di Kelantan dan Terengganu, calon PN akan menggunakan lambang parti PAS,” katanya.

Menurutnya, jentera pilihan raya di enam negeri itu juga telah diarahkan memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan pada tahap tertinggi untuk menghadapi PRN.

Selain itu, beliau turut memaklumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

“Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sabah dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dilantik Pengerusi Badan Perhubungan PN Wilayah Persekutuan.

“Mohamad Siddiq Mohd Azani dan Muhd Khidir Izaidin pula dilantik sebagai Penolong Setiausaha Eksekutif PN,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights