BEBERAPA pengendali lebuh raya bersetuju untuk melaksanakan sistem bayaran tol terbuka selewat-lewatnya pada September 2023.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan sistem berkenaan bagi mengatasi isu monopoli Touch N Go seperti yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Meskipun sedang bercuti sakit pada ketika ini, isu-isu terkait Kementerian Kerja Raya (KKR) masih berada di dalam radar pemerhatian saya. Saya sentiasa mengikuti dengan rapat setiap perkembangan semasa berkaitan kementerian ini.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa usaha ke arah mengatasi isu ini sebenarnya sudahpun dimulakan sejak tahun lalu lagi dan perkara ini turut menjadi fokus utama saya apabila saya diberi tanggungjawab menerajui Kementerian ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sejak awal tahun ini, pihaknya sudah mengarahkan perancangan serta perbincangan bersama pihak-pihak terlibat serta syarikat konsesi lebuh raya diadakan bagi mengorak langkah ke arah pelaksanaan sistem bayaran terbuka.
“Hasil perbincangan ini, sukacita ingin saya memaklumkan bahawa beberapa lebuh raya akan melaksanakan system bayaran terbuka selewat-lewatnya pada September 2023.
“Lebuh raya berkenaan adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata, melalui sistem bayaran tol berkenaan, pengguna sudah boleh mula menggunakan kad debit dan kredit untuk pembayaran tol.
“Pelaksanaan sistem ini adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah system Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang sedang giat diusahakan,” katanya.
Menurutnya, ujian konsep (POC) MLFF juga akan dijalankan sebelum penghujung Oktober 2023 bagi menilai sistem MLFF sebelum ianya dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.
“Lokasi POC ini sedang dalam rundingan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Pelaksanaan sepenuhnya MLFF ini akan dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.
“Melalui pelaksanaan MLFF, sistem bayaran terbuka akan dilaksanakan bagi kutipan tol bagi kesemua lebuh raya di Malaysia dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan eWallet untuk turut serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak Touch N Go.
“Dengan itu, persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuhraya untuk membuat pembayaran tol sekaligus memberikan kemudahan kepada mereka,” katanya.
Beliau berharap usaha berkenaan akan mendapat kerjasama semua pihak dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua terutamanya rakyat dan pengguna lebuh raya di negara ini.
Perdana Menteri kelmarin dilaporkan berjanji akan memberi perhatian terhadap perkara yang dibangkitkan berkaitan Touch ‘n Go termasuk isu monopoli.
Menurutnya, Touch ‘n Go telah beroperasi selama lebih dua dekad dan sistem yang digunakan tidak ada sebarang peningkatan dan kerajaan wajar mempertimbangkannya. – Malaysiapost