KEMELUT rumahtangga Syamsul Yusof dan Puteri Sarah masih belum berakhir apabila pengarah kontroversi itu memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini.
Lebih mengejutkan apabila Syamsul, 39, mendedahkan, antara alasan tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap Puteri Sarah adalah kerana wanita itu didakwa masih berhubung dengan bekas kekasihnya yang kini berstatus suami orang.
“Selama ini apa yang berlaku ke atas rumah tangga, saya banyak diam. Rasa tak elok nak kongsi hal ini kepada umum.
“Saya sudah memendam rasa sebagai suami. Dalam dunia ini, tiada suami yang boleh terima apabila isterinya curang dengan suami orang lain. Saya tahu Sarah masih berhubung dengan bekas kekasihnya sewaktu di zaman kolej lagi,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Malah, Syamsul berkata, dia turut terkejut apabila Puteri Sarah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah apabila menuduh dia melakukan kekasaran terhadapnya.
“Saya terkejut apabila Sarah menuduh saya telah memukulnya. Itu adalah fitnah. Mungkin Sarah marah dan benci dengan saya.
“Kesilapan saya mungkin sebab saya diam sehingga ibu bapa saya juga menghentam saya. Saya bukan hendak membalas Sarah, tetapi orang perlu tahu hal yang sebenar,” katanya.
Sementara itu, peguamnya Azmi Mohd Rais memberitahu, pihaknya akan menyerahkan tuntutan nusyuz ke atas Puteri Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, dalam masa terdekat.
Azmi turut memaklumkan terdapat empat jenis tuntutan yang dinyatakan Syamsul terhadap isterinya.
“Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz ke atas Sarah membabitkan beberapa alasan. Antaranya meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020.
“Kedua masih menghubungi bekas kekasihnya. Alasan ketiga kerana enggan mematuhi notis nusyuz dan keempat membuat kenyataan fitnah apabila dituduh memukul dan tidak memberi nafkah kepada isterinya,” katanya.
Sementara itu, tarikh sebutan semula kes tuntutan nusyuz Syamsul terhadap Sarah akan disambung semula pada 6 April depan. – Malaysiapost