BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menolak untuk menyertai Bersatu dan PAS kerana masih tetap setia dengan Umno.
Beliau yang digantung keahliannya selama enam tahun sejak Oktober lalu masih menaruh harapan supaya tindakan dikenakan terhadapnya ditarik balik.
Tajuddin menjelaskan, dalam rayuannya beliau telah memohon maaf di atas kelantangan mengkritik Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tidak mahu meneruskan persengketaan terhadap parti yang banyak berjasa kepadanya.
Mengakui masih sayangkan Umno, katanya, beliau sanggup menolak tawaran daripada beberapa parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas namanya digugurkan daripada kerusi Parlimen Pasir Salak.
“Saya tolak kerana sayangkan parti…Presiden pun kata begitu, jadi mari bekerjasama dan jangan sensitif sangat.
“Orang lain yang tidak bercakap (kritik), (hanya) “yes sir yes sir” mereka tidak membantu pun Presiden sebenarnya tetapi menjatuhkannya apabila kalah PRU, akhirnya siapa yang rugi?.
“Apa faedah gantung saya?. Saya tak keluar Umno walaupun mempunyai banyak pilihan, nak masuk PAS ke atau Bersatu. Tawaran pun mereka bagi kepada saya,” katanya seperti dilapor FMT.
Tajuddin pernah menjadi Ahli MKT Umno selama 15 tahun dan 18 tahun sebagai Ketua Umno Pasir Salak.
Baru-baru ini, ada khabar angin mendakwa beberapa bekas pemimpin utama Umno bakal menyertai PAS, antaranya Tan Sri Annuar Musa, Tajuddin dan Khairy Jamaluddin. – Malaysiapost