MAJLIS Proklamasi Orang Melayu cuma dijadualkan berlangsung di dalam dewan hotel atau Dewan Sime Darby yang dijangka dihadiri jemputan khas sekitar 350 orang, kata Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali.
Beliau menegaskan ia sama sekali berbeza berbanding peristiwa Operasi Lalang pada 1987 yang membawa kepada tangkapan beliau dan beberapa individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat.
Justeru Ibrahim berkata, adalah tidak wajar namanya dikaitkan dengan peristiwa 36 tahun lalu hanya kerana bekerjasama dengan Dr Mahathir sekarang seperti dinyatakan bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.
Berikutan itu, Ibrahim percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberi nasihat salah mungkin oleh golongan pengampu yang mahu mendapat perhatian dan kredit daripada Perdana Menteri.
“Apakah pihak keselamatan tidak memberi nasihat yang betul pada PMX (Anwar) atau terima nasihat golongan harga 10 sen. Biasalah budaya cari makan dan cium tangan.
“Proklamasi Orang Melayu tidak langsung menyentuh lain-lain kaum atau mengecam berapi-api kaum Cina saperti peristiwa Operasi Lalang 1987.
“Saya nasihat orang ramai tidak layan kenyataan Nazri yang tiada apa-apa nilai dan jauh sekali ada kredibiliti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu hari ini Nazri dilaporkan menggesa tindakan di bawah Akta Hasutan diambil terhadap Dr Mahathir kerana kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap kerajaan.
Kata Nazri, apa yang dilakukan Dr Mahathir sekarang jelas bertujuan untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan sedia ada.
“Kerajaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan terhadap Mahathir walaupun dia bekas perdana menteri.
“Semasa zaman Mahathir (sebagai perdana menteri), sesiapa yang mengadakan perhimpunan mengkritik kerajaan dianggap menentang pentadbiran, dan dihukum di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Kalau anda tidak percayakan saya, tanya Ibrahim Ali,” kata Nazri seperti dilaporkan Astro Awani.
Nazri berkata demikian susulan kenyataan Mahathir bahawa wujud campur tangan kerajaan di sebalik pembatalan tempahan lokasi untuk penganjuran Proklamasi Orang Melayu yang dirancangnya Ahad lalu.
Mengulas lanjut, Ibrahim mendakwa Dr Mahathir kini dijadikan ‘punching bag’ oleh golongan kaki pengampu termasuk Nazri yang kini dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.
“Biarlah Tun M berjuang kerana baginya perjuangan belum selesai dan saya pula akan meneruskan perjuangan tanpa noktah.
“Tun M tahulah bagaimana nak jaga keselamatan negara dan isu perkauman. Umur sudah 98 tahun dan dua kali jadi Perdana Menteri. Tak payah nak ajar beliau, ajarlah diri sendiri yang hidup atas dasar mengampu,” sindirnya. – Malaysiapost