PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi selama tiga hari bermula hari ini.
Kunjungan Perdana Menteri itu bagi memenuhi jemputan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Kunjungan itu adalah lawatan rasmi sulung beliau ke Arab Saudi selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia Ke-10, lapor Bernama.
Perdana Menteri dijadual mengadap Penjaga Dua Masjid Suci dan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud serta Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
Pada lawatan itu, Perdana Menteri juga turut mengadakan sesi pertemuan bersama komuniti perniagaan dan diaspora Malaysia di Arab Saudi.
Lawatan itu mencerminkan hubungan istimewa dengan Arab Saudi yang wujud selama ini dan memberi peluang kepada kedua-dua negara meningkatkan jalinan kerjasama dua hala, bertunjangkan kepentingan bersama dalam pelbagai bidang.
Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar dan sumber import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat.
Pada 2022, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi mencecah RM45.52 bilion (AS$10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding RM17.56 bilion (AS$4.23 bilion) pada tahun 2021.
Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail; Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta pegawai kanan kerajaan.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata, lawatan itu dijangka dapat mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Pertemuan ini akan memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin berkenaan membincangkan isu dan kerjasama dua hala yang berkepentingan, di samping meneroka peluang kerjasama baharu bagi memperkasakan jalinan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya. – Malaysiapost