KETIGA-TIGA Naib Presiden Umno yang baharu menang pada pemilihan Umno 2023 diberi tugas khas dalam usaha memperkasakan kembali parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pengkaderan Latihan dan Keahlian manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundangan dan Perlembagaan
Sementara itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula dilantik sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi, Kewangan dan Pelaburan Umno.
Ahmad Zahid menjelaskan, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam untuk melantik Naib-Naib Presiden sebagai pengerusi majlis.
“Kami telah sebulat suara mengambil keputusan bahawa kita berazam terus memperkasa perpaduan dan penyatuan dalam saf kepimpinan Umno di semua peringkat.
“Jadi dengan pelantikan ini kami berazam untuk menterjemahkan lima hala tuju yang telah saya garis ketika membentangkan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu di mana kita telah memberikan penugasan ini kepada beberapa ahli majlis dan ketua sekretariat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MKT yang pertama di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.
Selain itu Ahmad Zahid berkata, mesyuarat MKT bersetuju melantik Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agung Umno; Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Bendahari) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (Ketua Penerangan).
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, paling penting adalah untuk membuktikan kepimpinan ketika ini dapat bergerak bersama apabila menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai Pengarah Pilihan Raya untuk semua pilihan raya umum akan datang, PRN dan Piljhan Raya Kecil (PRK).
“Ketua jabatan pilihan raya iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan berada di ibu pejabat untuk mengetuai semua gerak kerja dan menyelaras dengan Timbalan Presiden (Mohamad) dan ketua pergerakan sayap.
“Kita berazam untuk mengubah jentera pilihan raya ke arah pendigitalan dan ini akan kita umumkan,” katanya. – Malaysiapost