Aaron terkilan Syamsul buat dia macam sampah

BILA tak nak, kau buang aku macam sampah, luah Datuk Aaron Aziz. 

Pelakon lelaki itu tampil menafikan kenyataan pengarah Syamsul Yusof yang menggugurkan namanya daripada filem The Original Gangster disebabkan masalah kesihatan.

Aaron atau nama sebenarnya  Aaron Mustapha Aziz mengakui agak terkilan dan menganggap dirinya diperlaku seperti ‘sampah’ apabila sudah tidak diperlukan dalam filem tersebut.

“Aku ajak kau jumpa, kau tak nak jumpa aku. Bila kau nak, kau datang rumah aku dengan cara baik. Bila tak nak, kau buang aku macam sampah. Aku ajak jumpa, boleh tengok badan aku kurus ke tidak,” katanya dalam hantaran video di Instagram, hari ini. 

Menjelaskan mengenainya, Aaron berkata, pada mulanya dia dimaklumkan tiada banyak adegan berlawan atau bergaduh dalam filem tersebut dan telah membuat  latihan bagi menjayakan filem berkenaan. 

Namun, Aaron terkejut apabila mendapat tahu terdapat pelbagai babak berlawan dengan beberapa pelakon berbeza selain sekumpulan individu.

“Kalau datang rumah aku tiga kali, kata nak buat filem KL Gangster rupanya pasal cerita lain (The Original Gangster). Kau jangan nak tipu, tak tahu aku ada masalah dengan leher aku.

“Kau datang sebulan sebelum mula penggambaran. Aku dah jatuhkan badan (turunkan berat) yang kau nak, memang mustahil. Tapi aku cuba juga.

“Kau kata tak banyak babak berlawan, tapi banyak guna senjata. Aku pun mula latihan setiap minggu, tiga empat kali. Tiba-tiba produksi maklum… kau cakap ada koreografer. Lepas tu dapat tahu aku berlawan dengan empat pelakon serta 20 orang,” katanya. 

Aaron yang berusia 47 tahun itu mendedahkan kesanggupan dirinya supaya ‘dicucuk’ bagi mendapatkan bentuk badan ideal sekali gus mengikut kehendak pengarah filem Mat Kilau itu.

“Kau tahu tak aku penat macam mana? Setiap hari bakar 100 kalori. Kau bagi gambar nak badan macam ni, aku cakap kalau nak badan begitu kena cucuk bro. Dia kata pergi cucuk.

“Kau punya budak (team) ambil video pelakon yang tak banyak langkah. Bahagian dia ambil video aku, masa aku tengah belajar lagi.. pergerakan. Pastu hantar bagi produksi. Kalau cakap pengarah nak tengok, mesti aku buat betul-betul.

“Tu bukan ke aniaya? Itu menunjukkan artis lain lagi pantas, aku slow. Aku ada banyak babak berlawan kau campak kat aku. Kau jumpa aku pun tidak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Syamsul ‘membuka cerita’ kenapa pelakon Singapura itu digugurkan daripada filem berkenaan yang antaranya kerana faktor usia dan saiz fizikal yang mengundang kebimbangan pihak produksi.

“Minta maaf tetapi saya perlu jelaskan perkara sebenar. Penerbit sudah berbincang dan menasihati saya bahawa Aaron tak boleh, dia dah tua, dia dah gemuk. Saya minta beri Aaron masa.

“Sebab Aaron sudah berjanji boleh kuruskan badan dan menjalani latihan intensif. Saya berbincang dengan beberapa orang penerbit bahawa saya sanggup ‘extend’ waktu penggambaran untuk beri masa pada Aaron.

“Tetapi sebagai seorang sahabat, saya takut apa-apa terjadi dengannya sewaktu penggambaran terutamanya babak-babak aksi kerana dia ada slipped disc. Jika ada apa-apa yang berlaku nanti saya pula yang akan dipersalahkan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights