Abdullah, Najib tidak usaha jayakan Wawasan 2020 -Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad menyalahkan dua Perdana Menteri yang menggantikannya selepas meletakkan jawatan itu pada tahun 2003, punca Wawasan 2020 gagal mencapai matlamatnya. 

Beliau mendakwa, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri tidak menunjukkan kesungguhan untuk menjayakan gagasan yang dicetuskan pada tahun 1990 itu. 

“Kegagalan Wawasan 2020 disebabkan oleh Abdullah dan Najib. Mereka tidak langsung cuba membangunkan negara dari 2004 hingga 2020.

“Pada 2009 Abdullah letak jawatan dan Najib Razak dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Sepertimana Abdullah tidak tumpu kepada pelaksanaan Wawasan 2020, Najib juga tidak berusaha untuk jayakan wawasan berkenaan. Sebaliknya Najib pinjam berbillion Ringgit untuk beli stesyen janakuasa dengan harga lebih tinggi dari harga pasaran,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang mengenai kegagalan Wawasan 2020. 

Dr Mahathir juga menyifatkan kegagalan Wawasan 2020 itu tidak seharusnya diletakkan atas bahu beliau sepenuhnya. 

“Kit Siang memberi nasihat terakhir kepada saya. Ya. Memang pun saya mengumum kegagalan Wawasan 2020.

“Tetapi ia bukan kegagalan saya. Tidak ada bukti kegagalan Wawasan 2020 sehingga saya letak jawatan pada 2003.

“Apabila sahaja Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib ambil alih kepimpinan negara, mereka ketepikan dasar dan cara yang diterokai oleh saya. Lepas itu Najib terlibat dengan bermacam jenayah. Tidak ada sedikit pun usaha untuk jayakan Wawasan 2020,” katanya. 

Menjelaskan mengenainya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Abdullah  yang menggantikannya sebagai Perdana Menteri, memungkiri janji sekali gus tidak meneruskan dasar-dasar yang beliau perkenalkan ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sejak 1981.

“Sebaliknya, Abdullah batal projek keretapi, jambatan bengkok dan projek expressway walaupun beliau telah janji akan teruskan projek-projek ini. Dasar dan cara yang saya perkenal semasa saya jadi Perdana Menteri juga digugur.

“Yang diutamakan ialah projek anak dan menantu. Di tingkat empat terdapat beberapa anak muda yang mempengaruhi dasar dan projek. Wang Ehsan Terengganu diguna untuk mendiri hotel, taman masjid, perlumbaan perahu layar dan jambatan. 

“Rakyat tolak dasar dan pentadbiran Abdullah dan dalam PRU pada tahun 2008, pencapaian Kerajaan Abdullah begitu buruk sehingga lima buah negeri ditawan oleh parti lawan,” katanya. 

Selain itu, Dr Mahathir kegagalan Wawasan 2020 turut dikaitkan dengan kegagalan mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu. 

Jelasnya, masih ramai rakyat Malaysia tidak bertutur bahasa Malaysia dengan baik sekali gus merencatkan usaha membina bangsa Malaysia yang bersatu. 

“Bahasa Malaysia ialah Bahasa Melayu, iaitu bahasa penduduk asal tanah Melayu. Kita tidak berjaya mencapai matlamat yang pertama kerana ramai rakyat Malaysia tidak bertutur kata dalam bahasa Kebangsaan bahkan mereka utamakan bahasa bukan Kebangsaan.

“Sebab itu cabaran pertama untuk menubuhkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu tidak tercapai. 

“Dalam perkara ini Kit Siang sendiri yang tidak berusaha supaya semua bangsa Malaysia bertutur kata dalam bahasa Kebangsaan yang sama. Kit Siang perlu nasihat dirinya sendiri,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights