Ira Kazar mahu saman Jawi

IRA Kazar, isteri kedua pengarah terkenal, Syamsul Yusof bakal mengambil tindakan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin bakal mengambil tindakan saman terhadap organisasi agama itu berikutan pendedahan Jawi terhadap tuduhan persetubuhan luar nikah sebelum berkahwin kepada umum.

Perkara tersebut dimaklumkan peguamnya, Ammar Ghalip dalam satu sidang akhbar bersama media, petang semalam.

Menurut Ammar, pihaknya bakal memfailkan saman terhadap Jawi kerana pendedahan yang dibuat oleh pihak tersebut kepada masyarakat.

“Berkenaan dengan kenyataan Puteri Sarah mengenai siasatan-siasatan daripada Jawi itu, ia masih belum selesai dan dalam siasatan lagi.

“Isu berkenaan masih disiasat dan terdapat perkara yang boleh dipersoalkan. Jadi, tindakan undang-undang telah pun diambil kepada Jawi,” katanya.

Semalam, Syamsul yang juga pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menafikan dakwaan isteri pertamanya, Puteri Sarah bahawa dia melakukan persetubuhan luar nikah sebelum berkahwin dengan isteri, Ira Kazar.

Kata Syamsul, dia tidak pernah melakukan persetubuhan luar nikah seperti yang didakwa dan turut mempersoalkan ketelusan Jawi.

Susulan itu, Syamsul berkata isteri keduanya akan menyaman pihak Jawi pada minggu hadapan berikutan pendedahan kesnya kepada umum.

“Ira akan saman Jawi. Minggu depan kami akan failkan saman,” ujarnya.

Konflik rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul mula diperkatakan sejak empat tahun lalu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram mengesahkan dia sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights