KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berganding bahu membantu konservasi Harimau Malaya menerusi RM1 daripada setiap tiket perlawanan pasukan kebangsaan yang terjual.
Tindakan tersebut bagi memerangi kepupusan Harimau Malaya dengan menyokong inisiatif Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang menerajui usaha konservasi biodiversiti termasuk Harimau Malaya.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata beliau optimis kolaborasi bersama KBS itu satu bukti konklusif di mana kedua-dua organisasi tersebut juga menitikberatkan hidupan liar khususnya Harimau Malaya yang merupakan haiwan ikonik Malaysia, kini sedang berdepan isu kepupusan.
“Ini adalah satu misi yang izhar buat FAM dan KBS dalam pemuliharaan harimau Malaya. Setiap kali kita keluar bermain dan menonton bola sepak, kita menyumbang kepada kehidupan setiap Harimau Malaya di Malaysia,” katanya Hamidin.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata Harimau Malaya adalah lambang dan nama panggilan pasukan bola sepak kebangsaan, maka seharusnya tidak dibiarkan harimau hanya tinggal menjadi maskot atau laungan tanpa adanya spesis tersebut di hutan negara ini.
Kata Hannah, jika spesis terbabit pupus maka jiwa kelestarian negara juga akan pudar dan tiada makna pasukan kebangsaan masih bergelar Harimau Malaya.
“Oleh itu saya menyeru semua anak muda yang minat kepada bolasepak juga menunjukkan semangat yang sama dalam pemeliharaan Harimau Malaya. Usaha ini selari dengan pendekatan Malaysia Madani yang menekankan aspek kemampanan.
“Malah melalui program Rakan Muda (kerana kebanyakan peminat bola sepak juga merupakan belia), KBS akan membantu dalam usaha murni ini,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Hannah berkata usaha tersebut dilihat sebagai satu pendekatan inovatif dan terangkum melibatkan sukan popular bola sepak sebagai penyelamat Harimau Malaya. – Malaysiapost