PENGARAH terkenal, Syamsul Yusof tampil mendedahkan sebab nama pelakon Datuk Aaron Aziz digugurkan daripada beraksi dalam filem terbaharu arahannya, The Original Gangster.
Menurut Syamsul, nama aktor kelahiran Singapura itu terpaksa digugurkan daripada penggambaran tersebut kerana Aaron mengalami masalah kesihatan selain kenaikan berat badan.
Bagaimanapun, Syamsul berkata dia merupakan orang terakhir yang mahu menggugurkan nama Aaron dalam filem itu.
“Saya kata jangan dulu, kita bagi Aaron masa. Dia dah janji dengan saya, dia boleh kuruskan badan, dia boleh ‘training’ (berlatih). Dia boleh buat lagi. Tapi, selain itu Aaron juga ada masalah slip disc, soal kesihatan dia pula.
“Saya ada tarikh yang sepatutnya dah ‘shooting’ (penggambaran). Saya berbincang dengan pihak penerbit dan minta beri masa pada Aaron dan tangguhkan dulu penggambaran.
“Saya yakin Aaron boleh. Tapi, dia (Aaron) tak dapat tunaikan juga. Antara sebab utama kenapa Aaron digugurkan adalah kerana saya takut kalau dia buat aksi lawan dan lasak nanti akan mengganggu masalah kesihatannya. Nanti, saya juga yang dipersalahkan,” katanya.
Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menjelaskan isu tersebut menerusi satu sidang akhbar bersama media, petang semalam.
Sementara itu, Syamsul berkata sebelum penggambaran pelakon-pelakon ada melalui proses latihan dan semua orang datang kepadanya memberitahu Aaron ada masalah ketika sesi latihan itu dibuat.
Katanya, dia ada menghubungi Aaron namun respon daripada pelakon tersebut tidak berapa baik.
Ujar Syamsul, Aaron seolah-olah menyalahkan dirinya dan mendakwa pelakon itu turut mengambil kesempatan di atas masalah rumah tangga dihadapinya.
“Saya ada hubungi dia dan minta maaf mengenai perkara ini. Sebabnya, saya adalah orang terakhir yang mahu menggugurkan namanya diatas faktor-faktor berkaitan.
“Tiba-tiba dia melenting pula. Saya dah terangkan kepada dia yang saya terpaksa dan tak kisahlah kalau memang itu pandangan dia kepada saya. Sebenarnya kisah pun dah lama, tapi bila timbul masalah rumah tangga saya, semua pun tiba-tiba nak mengungkit,” katanya.
Dalam masa sama, Syamsul menegaskan dia mengambil berat berkenaan soal kesihatan setiap pelakon yang bekerja di bawah arahannya.
Tambahnya lagi, golongan selebriti secara umumya perlu sentiasa percaya kepada rezeki dan bukannya mengambil kesempatan atas orang lain.
“Saya minta maaf. Kalau boleh saya memang tak nak cakap mengenai perkara ini. Malah, secara umum saya cakap dekat sini, kita sebagai selebriti kalau agak-agak nama dah goyang ke apa, nombor satu percaya rezeki Allah. Lebih ke kurang, kita kena terima.
“Kemudian, kita cuba buktikan dengan hasil kerja kita. Dengan bakat yang Allah kurniakan kepada kita. Bukan cari ‘point’ dengan masalah orang lain. Betullah orang kata bila kita berada di fasa ujian, baru tahu mana yang kawan, sahabat dan mana yang sebenarnya mungkin ada iri dengan kejayaan kita selama ini. Mungkin,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Aaron mendedahkan bukan dia yang menarik diri dari berlakon dalam filem The Original Gangster arahan Syamsul, sebaliknya dia telah dibuang.
Bagaimanapun, Aaron tidak mahu mendedahkan punca dia dibuang daripada filem berkenaan kerana enggan membuka aib sesiapa. – Malaysiapost