MRSM berbayar kehendak pihak alumni

CADANGAN mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar adalah kehendak alumni institusi pendidikan itu sendiri yang mahukan model pengajian sama diberikan kepada anak-anak mereka.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan mewujudkan MRSM berbayar adalah bertujuan bagi memenuhi kehendak kumpulan yang bersedia membayar dan mahukan model pengajian sama.

“Sepanjang Penubuhan MRSM sejak 1972, sudah 51 tahun institusi ini berperanan melahirkan generasi teknokrat, cendekiawan, profesional dalam pelbagai bidang yang hebat dan menyumbang kepada kemajuan negara.

“Hari ini hampir 200,000 alumni MRSM dilahirkan dan berjaya malah kebanyakannya adalah dari kalangan M40 dan T20. Sudah tentu mereka juga mahu menghantar anak-anak mereka kerana percaya kepada sistem, orientasi, kurikulum dan model MRSM.

“Bagaimanapun, kecenderungan ini terhalang kerana keutamaan MARA adalah memfokuskan kepada B40 ,” katanya dipetik Berita Harian.

Semalam, Asyraf mencadangkan supaya MRSM untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi diwujudkan, setelah menerima pandangan daripada ramai pihak.

Beliau berkata, MRSM berbayar itu boleh diuruskan oleh Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp).

Jelasnya, ibu bapa daripada golongan elit yang sanggup menanggung kosnya walaupun berkemampuan menghantar anak-anak ke sekolah-sekolah elit swasta antarabangsa.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, ketika ini pihak MARA sedang melakukan kajian kebolehlaksanaan mengenai cadangan itu termasuk melakukan kajian lapangan persepsi daripada pelbagai kumpulan taruh.

Beliau berkata, tiada dana kerajaan perlu disumbangkan dalam kos membina MRSM berkenaan sebaliknya ia boleh dilakukan dengan pelbagai pendekatan.

“Antaranya termasuk secara PFI (Inisiatif Kewangan Swasta) serta wakaf malah kos operasi adalah melalui yuran yang dibayar oleh ibu bapa,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights