CADANGAN untuk menubuhkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan atau dibina di atas tanah agensi itu yang dikhususkan untuk rakyat miskin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM terbabit.
Beliau yang Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, permintaan untuk memasuki MRSM berada di tahap lebih 300 peratus daripada kemampuan dan hal itu perlu ditangani serta dilakukan dengan kaedah di luar kotak.
“Kerajaan juga sudah melakukan kajian kebolehlaksanaan dan melihat ramai pelajar yang berkelayakan untuk memasuki MRSM, tetapi tidak layak dari segi pendapatan ibu bapa.
“Tanpa berkompromi dari segi kualiti dan kelulusan minimum akademik, kita akan membuka ruang seluas-luasnya untuk anak golongan T20, M40 dan alumni memasuki MRSM ,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq (PN-Muar) berhubung proses dan sumber pendanaan untuk membina MRSM berbayar.
Terdahulu, MARA memaklumkan sedang meneliti cadangan mewujudkan MRSM ‘berbayar’ yang dirangka khas bagi segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan MRSM berbayar tersebut mungkin boleh diuruskan oleh MARA Corporation (MARA Corp).
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak sesekali boleh dikompromikan soal falsafah, orientasi dan budaya pendidikan yang menjadi ekosistem MRSM, termasuk kurikulum Ulul-Albab agar kualiti dan konsistensi penyampaian terpelihara.
Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan beberapa pihak termasuk Syed Saddiq yang berpandangan bahawa objektif asal penubuhan MRSM adalah untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan dan bukan untuk berstatus elit. – Malaysiapost