Ramadan waktu muhasabah diri, jauhi perbuatan tercela – Sultan Selangor

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam menjadikan Ramadan sebagai medan untuk menginsafi dan bermuhasabah diri.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Baginda turut menasihati umat Islam untuk menjauhi perbuatan tercela seperti mengadu domba dan menyebar fitnah.

“Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasullullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya (Riwayat al-Bukhari),” titah Baginda.

Sementara itu, Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan selamat berpuasa dan menyambut bulan Ramadan 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat negeri Selangor.

Titah baginda, Ramadan adalah bulan terbaik untuk melipatgandakan amalan-amalan berpahala serta melakukan amal kebajikan.

Sultan Selangor turut bertitah, mengingatkan Muslimin dan Muslimat supaya terus mengimarahkan masjid dan surau termasuk menunaikan ibadah solat sunat tarawih secara berjemaah sepanjang Ramadan.

Umat Islam di seluruh negara mula berpuasa hari ini, 23 Mac, seperti yang diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Pengumumkan tarikh itu disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights