SESUNGGUHNYA pelantikan jawatan ini datang dengan satu tanggungjawab dan amanah yang besar, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, kepercayaan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melantik semula beliau sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Sabah merupakan amanah besar yang mesti dipikul dengan sebaiknya.
Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Kinabatangan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden dan kepimpinan Umno kerana kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab tersebut disamping melantik beberapa pemimpin Umno Sabah membarisi barisan Ahli MKT untuk sesi 2023-2026.
“Sesungguhnya jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi bagi membantu memimpin parti bersama-sama Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,” katanya dipetik Umno Online, hari ini.
Dalam mesyuarat MKT semalam, Ahmad Zahid telah mengumumkan Bung untuk sekali lagi meneraju Umno Sabah.
Justeru, Bung menyeru semua ahli Umno agar bersatu sebagai sebuah keluarga besar serta saling bekerjasama bagi mendapatkan keyakinan rakyat kepada parti tersebut.
“Umno merupakan sebuah keluarga besar tidak perlu wujudkan sentimen dia orang ini dan itu, kita perlu bersatu padu selepas pemilihan baru-baru ini, fokas dan tumpuan kita untuk memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat agar tidak ada pihak memperlekahkan kewujudan Umno yang turut menyumbangkan kepada pembentukan kerajaan negeri selepas PRN 16.
“Insyaallah kepercayaan serta amanah yang diberikan ini akan digalas sepenuhnya dengan memberikan keutamaan untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti khususnya di Sabah untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri yang dijangka kurang dari dua tahun dari sekarang” katanya. – Malaysiapost