Tidak batal puasa hidu makanan, makruh jika berlebihan

TIDAK batal puasa seseorang muslim jika menghidu keenakan bau makanan, namun hukumnya makruh jika dihidu secara sengaja dan berlebihan.

Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) berkenaan hukum itu di laman sensawangnya memberikan pencerahan kepada mereka yang masih ragu mengenainya.

PMWP berkata, hukum menghidu bau atau asap hidangan makanan pada dasarnya adalah harus dan tidak pula membatalkan puasa seseorang.

“Namun begitu, sekiranya seseorang itu dengan sengaja menghidu bau tersebut secara berlebihan, maka makruh hukumnya.

“Hal ini kerana, seseorang individu Muslim yang berpuasa dituntut untuk menjauhkan dirinya daripada perkara-perkara yang boleh menaikkan nafsu dan syahwat di bulan Ramadan,” katanya.

Sementara itu, katanya, memakai minyak wangi saat berpuasa pula juga tidak membatalkan puasa, namun hukumnya makruh.

Jelasnya, para ulama menjelaskan hikmah hukum makruh tersebut kerana ketika berpuasa umat Islam wajib menahan diri daripada perkara yang boleh melonjakkan nafsu dan syahwat.

“Ini kerana minyak wangi adalah termasuk hal yang boleh membangkitkan syahwat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights