PENCERAMAH terkemuka Zakir Naik dilaporkan akan ditahan dan diusir dari Oman untuk dihantar pulang ke India.
Memetik laporan portal India, News18, agensi-agensi risikan negara itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan Zakir ketika lawatannya ke Oman, hari ini.
Zakir dijemput untuk menyampaikan dua ceramah di negara itu dengan ceramah pertama dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama Oman.
Manakala ceramah kedua dijadualkan di Universiti Sultan Qaboos pada petang 25 Mac ini.
Sementara itu, beberapa hantaran di media sosial mengesahkan penceramah itu selamat tiba di Muscat dari Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Oman atas jemputan tersebut. – Malaysiapost