Lim Kit Siang
MAHATHIR menyalahkan Abdullah dan Najib atas kegagalan Wawasan 2020 telah menguatkan lagi hujah saya yang sidang Parlimen perlu dilanjutkan selama dua hari lagi untuk membahaskan mengapa Wawasan 2020 gagal dengan Malaysia kini lebih korup, tidak bersatu padu, dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan berbanding dengan semasa Wawasan 2020 dilancarkan pada tahun 1991
Malaysia ditadbir oleh tiga orang dalam 30 tahun di antara 1991 sehingga 2020 untuk memenuhi matlamat Wawasan 2020: Dr. Mahathir Mohamad, 1991 – September 2003; Abdullah Badawi September 2003 – April 2009; Najib Razak April 2009 – Mei 2018; dan sekali Dr. Mahathir Mohamad dari Mei 2018 ke Februari 2020.
Mahathir menyalahkan Abdullah dan Najib atas kegagalan Wawasan 2020 dengan Malaysia kini lebih korup, tidak bersatu padu, dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan berbanding dengan semasa Wawasan 2020 dilancarkan pada tahun 1991.
Dengan kadar dan hasil usaha pembinaan negara bangsa sebegini dalam 30 tahun dari 1991 hingga 2020, Malaysia bakal menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik dalam tiga dekad yang akan datang.
Sekiranya kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik semasa kita menandakan ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057, maka kita perlu bermuhasabah dan menyiasat mengapa Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya gagal dicapai setakat ini.
Adakah Mahathir tepat dalam mengatakan Abdullah dan Najib telah mengkhianati pencapaian Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya atau adakah benih-benih kegagalan telah disemai oleh Mahathir sendiri semasa pemerintahan 22 tahunnya walaupun peningkatan rasuah, salah guna kuasa, dan polarisasi perkauman dan keagamaan meningkat lebih banyak dalam tahun-tahun selepasnya, terutamanya semasa pemerintahan Najib.
Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) yang diterbitkan pada 1995, Malaysia berada di tempat ke-23 dari 41 buah negara yang ditinjau.
Menjelang 2003, Malaysia telah tergelincir dan berada di tempat ke-37 dari 133 negara, manakala China, India, dan Indonesia meningkatkan markah mereka dan berada di tempat ke-65, 83, dan 122 masing-masing.
Kemerosotan dalam tahun-tahun pemerintahan Abdullah dan Najib berlaku dengan pantas.
Dalam TI-CPI 2009, Malaysia mencatatkan kejatuhan markah dan kedudukan, di tempat ke-56 dari 180 buah negara yang ditinjau, manakala China, India, dan Indonesia mencatatkan peningkatan markah dan kedudukan di tempat ke-79, 84, dan 111 masing-masing.
Dalam tahun terakhir Najib, dengan pengaruh kuat dari skandal 1MDB, Malaysia terjatuh lagi dalam TI CPI 2017 ke tempat ke-62 dari 180 buah negara, manakala China, India, dan Indonesia terus mencatatkan penambahbaikan, berada di tempat ke-77, 81, dan 96 masing-masing.
Bolehkah Malaysia kembali semula kepada prinsip asal pembinaan negara bangsa seperti yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah empat presiden terawal Umno) ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, menghentikan kemerosotan negara dan mengembalikan potensi kita sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dan bukannya menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik?
Persoalan yang paling penting sekarang adalah sama ada Mahathir masih percaya dengan Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya sebagai prinsip asas pembinaan negara.
Adakah Mahathir masih percaya dengan Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya ini?
Penulis merupakan veteran DAP.
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)