SEMPENA minggu gaji, kira-kira 1.9 juta kenderaan dijangka keluar dari Lembah Klang berikutan warga kota mengambil kesempatan menjalani ibadat puasa di kampung halaman hujung minggu ini.
Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusof Aziz berkata, pihaknya menjangkakan aliran trafik pada minggu pertama Ramadan ini di kedua-dua arah Lebuhraya Utara Selatan meningkat 1.9 juta berbanding 1.7 juta pada hari biasa.
”Kami jangkakan aliran trafik hujung minggu ini akan sedikit meningkat mulai petang ini.
“Buat masa ini keadaan masih terkawal, namun mengikut kebiasaan, aliran trafik dari Lembah Klang akan sesak petang ini hingga ke awal pagi esok.
“Ketika warga kota kembali ke Kuala Lumpur pula, kesesakan dijangka berlaku mulai pagi ke tengah hari Sabtu manakala Ahad selepas tengah hari,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.
Justeru, Mohd Yusof berkata, semua kakitangan termasuk PlusRonda sentiasa bersiap sedia dan beroperasi pada tahap optimum bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Untuk hujung minggu ini tiada sebarang kerja penutupan jalan kecuali jika berlaku kecemasan.”
“Orang ramai juga dinasihatkan merancang perjalanan dengan mendapatkan info trafik terkini melalui medium rasmi Plus di Twitter, Putri via Plusapp atau menghubungi talian Pusat Traffik Plus.
“Pastikan baki kad dan e-wallet mencukupi serta memandu memandu dengan berhemah supaya selamat tiba di destinasi masing-masing,” katanya. – Malaysiapost