Lantik yang kalah dalam barisan kepimpinan demi pengukuhan Umno

MELANTIK pemimpin yang kalah pada pemilihan Umno 2023 untuk menganggotai kepimpinan parti di peringkat pusat mahu pun negeri adalah untuk mengukuhkan kedudukan Umno. 

Perkara itu dijelaskan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, pengukuhan yang beliau lakukan itu untuk menepis persepsi khalayak kononnya parti itu dalam keadaan cacamarba.

Tegasnya, keputusan pemilihan Umno yang berakhir minggu lalu, sebenarnya mencetuskan nafas baharu kepada parti itu. 

Beliau berkata, tindakan itu memberi kelebihan dan manfaat kepada parti termasuk mendorongnya untuk bersama sebagai satu pasukan demi memastikan Umno bangkit semula.

“Saya sudah berpesan kepada mereka bahawa yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua.

“Maka dengan keterangkuman ini, saya lakukan demi mengukuhkan Umno yang pada tanggapan di luar sana ia berada dalam keadaan cacamarba.

“Kali ini, setiap keputusan dibuat di peringkat bahagian, pemuda, wanita dan puteri apatah lagi di peringkat nasional memperlihatkan satu gelombang yang baharu.

“Justeru, saya harus bersama-sama dengan mereka untuk membina kekuatan baharu UMNO ini dan merapatkan saf atau barisan dalam kepemimpinan di setiap peringkat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batu 8, Gombak, malam ini.

Rabu lalu, beberapa pemimpin Umno yang kalah pada pemilihan telah dilantik ke dalam barisan kepimpinan parti itu, antaranya Tan Sri Shahrizat Abd Jalil, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Nur Jazlan Mohamed. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights