MALAYSIA berharap dapat menamatkan epidemik penyakit Tibi menjelang tahun 2035 melalui pembabitan pelbagai pihak terutama kepimpinan peringkat tinggi bagi meningkatkan usaha, tenaga, kepakaran dan inovasi dalam penyakit berkenaan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata bersempena sambutan Hari Tibi Sedunia hari ini yang bertemakan ‘Yes! we can end Tibi’, ia memberi inspirasi dan harapan kepada negara dalam usaha dan strategi menamatkan epidemik Tibi.
Beliau berkata, penyakit Tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan ‘Mycobacterium tuberculosis’ yang merebak melalui udara dan majoriti jangkitannya membabitkan paru-paru, selain organ lain seperti otak, kelenjar limfa, usus dan lain-lain lagi.
“Pada 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 10.6 juta kes Tibi di seluruh dunia, membabitkan 6 juta kes lelaki, 3.4 juta kes wanita dan 1.2 juta kes kanak-kanak.
“Bagi Malaysia, jumlah kes yang dilaporkan pada 2022 adalah 25,391 kes (kadar notifikasi 77.8 bagi setiap 100,000 penduduk) dengan peningkatan sebanyak 3,664 kes (17 peratus) berbanding 21,727 kes (pada kadar notifikasi 63.5 setiap 100,000 penduduk) pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, WHO menganggarkan kadar insiden Tibi bagi Malaysia adalah 97 setiap 100,000 penduduk, namun kadar insiden yang dilaporkan di Malaysia adalah lebih rendah berbanding anggaran WHO tersebut.
“Sehubungan itu, usaha bagi meningkatkan kadar pengesanan kes melalui saringan awal penyakit Tibi perlu ditingkatkan. Individu yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti Tibi seperti kontak kes, pesakit HIV, pesakit buah pinggang kronik, pesakit paru-paru kronik dan perokok aktif dinasihat melakukan saringan Tibi,” katanya.
Beliau berkata, WHO juga menganggarkan 1.2 juta kematian akibat Tibi di peringkat global, manakala jumlah kematian akibat penyakit itu di Malaysia tahun lalu adalah sebanyak 2,572 kematian dengan kadar kematian 7.9 setiap 100,000 penduduk.
Menurutnya, jumlah kematian akibat Tibi di Malaysia itu meningkat sebanyak 284 kematian (12 peratus) berbanding 2,288 kematian pada tahun sebelumnya.
“Bagi mengurangkan komplikasi kematian, individu yang mempunyai tanda dan gejala Tibi seperti batuk berpanjangan lebih dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah diminta jalani pemeriksaan awal dan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran.
“Rawatan penyakit Tibi paru-paru adalah kombinasi ubatan antibiotik anti-tibi yang perlu diambil setiap hari selama enam bulan. Individu dijangkiti Tibi boleh sembuh dengan mengambil rawatan diberikan.
“Pesakit yang berhenti ambil rawatan dan enggan meneruskannya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.
Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan semua pesakit mematuhi jadual rawatan dan sokongan ahli keluarga, majikan, rakan dan masyarakat juga memainkan peranan penting bagi memastikan pesakit tidak terhenti rawatan.
“Salah faham berkaitan penyakit Tibi serta stigma terhadap pesakit dan keluarga perlu dihentikan. Komitmen yang tinggi anggota kesihatan di samping kerjasama erat semua agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan bagi mencapai hasrat Malaysia menamatkan Tibi menjelang 2035,” katanya. – Malaysiapost