MRSM berbayar masih dalam kajian – Asyraf

CADANGAN untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar masih lagi diperingkat kajian. 

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan untuk mewujudkan MRSM berbayar kepada kumpulan T20 bukanlah perkara baru, sebaliknya ianya bertujuan memenuhi hasrat dan harapan masyarakat yang menaruh keyakinan tinggi terhadap institusi pendidikan itu. 

“Idea MRSM berbayar bukan idea baru. Ia sudah pun di dalam kajian kita dan apabila saya melihat bahawa tuntutan dan harapan masyarakat kepada MRSM terlalu tinggi. 

“Tahun ini sahaja 90,000 yang memohon (ke MRSM), tempatnya (kekosongan) 7,100. Jadi itu sahaja boleh menunjukkan. Kita tak boleh hanya fokus kepada yang B40, M40, T20 sahaja,” katanya dalam sesi soal jawab bersama media dan majlis berbuka puasa di ibu negara, hari ini.

Asyraf juga menegaskan, MARA tidak sesekali akan membuat tindakan yang lari daripada matlamat asalnya. 

“Apa pun, matlamat MARA itu kita jaga. Sebab itu kita pastikan adanya 60 peratus sekurang-kurangnya dalam kalangan B40 dan selebihnya ada tambahan M40 dan T20,” katanya. 

Sementara itu, Asyraf menafikan “dakwaan nakal” yang menyifatkan MRSM kini dikuasai oleh golongan elit.

Tegasnya, data menunjukkan MRSM masih berada pada asas penubuhannya untuk membantu orang Melayu.

“Untuk menjawab sesetengah persepsi nakal yang mengatakan seolah-olah MRSM hari ini didominasi oleh golongan elit, golongan kaya T20, itu tidak benar. 

“Saya membuat komen berasaskan data yang ada dalam MRSM dan juga di bahagian pendidikan menengah,” katanya. 

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan cadangan mewujudkan MRSM berbayar kepada golongan berkemampuan tidak akan melibatkan peruntukan daripada kerajaan.

Ahmad Zahid yang yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelan futuristik yang sedang disusun atur MARA itu akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) serta kerjasama dengan institusi kewangan.

Beliau memberikan jaminan MRSM berbayar berkenaan tidak akan didirikan di atas tanah Mara yang dikhususkan untuk manfaatkan rakyat miskin. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights