Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
PENENTUAN masuk bulan Ramadhan dan Syawal ditentukan berdasarkan penyaksian terhadap anak bulan di sesebuah negeri.
Perbezaan jarak dan waktu antara negeri menyebabkan berlakunya perbezaan dalam cerapan dan penyaksian anak bulan lalu hasilnya ialah perbezaan pada permulaan puasa dan raya antara negeri-negeri.
Pada tahun ini 2023M/1444 H kebanyakan negara Islam sama ada yang membuat cerapan anak bulan Ramadhan pada hari Selasa atau Rabu mengumumkan tarikh puasa bermula Khamis 23 Mac 2023 manakala tiga negeri iaitu India, Pakistan dan Sri Lanka yang membuat cerapan pada hari Rabu mengumumkan permulaan puasa pada hari ini, Jumaat 24 Mac 2023.
Untuk rekod, sebanyak 14 buah negara membuat cerapan pada hari Rabu yang jatuh 29 Sya’ban bagi mereka.
Berlaku di zaman sahabat, penduduk di Syam menyaksikan anak bulan Ramadhan pada malam Jumaat lalu diarahkan oleh Mu’awiyah (r.a) selaku gabenor Syam untuk semua berpuasa pada hari Jumaat.
Di Madinah pula bulan hanya kelihatan pada hari Sabtu dan penduduk Madinah memulakan puasa pada hari Sabtu.
Apabila seorang Tabi’in bernama Kuraib bin Abi Muslim bertanya kepada Ibnu Abbas (r.a), tidakkah cukup dan berpada dengan kesaksian Muawiyah (r.a) di Syam bagi penduduk Madinah juga memulakan puasa. Ibnu Abbas (r.a) lantas menjawab;
لا، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Tidak.Demikianlah kami diarahkan oleh Nabi (saw)”
(Hadis riwayat Muslim, Tirmizi, Abu Dawud dan Nasaei)
Hadis ini menjadi dalil memperakui perbezaan dan kepelbagaian dalam menentukan hari permulaan puasa dan Hari Raya dalam Islam.
Perbezaan permulaan ibadat puasa dan Hari Raya ini membawa mesej kepelbagaian dalam kesatuan.
Kesatuan umat Islam ialah pada ibadat puasa itu sendiri selama sebulan Ramadhan dan menyambut Idil Fitri dengan mengerjakan Solat Raya.
Kepelbagaian pula ialah pada tarikh permulaan yang boleh berbeza sehari.
Malah kepelbagaian juga berlaku pada bilangan hari puasa dalam sebulan Ramadhan sama ada 29 atau 30 hari.
Keadaan ini memberikan satu mesej yang jelas bahawa dalam Islam boleh sahaja berlaku perbezaan dalam satu perkara cabang tetapi kesatuannya ialah dalam perkara usul dan asas.
Asas dan usul ialah kewajipan puasa tetapi pada isu cabangnya seperti tarikh permulaan dan bilangan hari yang berlaku padanya kepelbagaian.
Maka umat Islam perlu sentiasa bersatu dan berpadu dalam perkara usul dan asas dan meraikan kepelbagaian dalm isu cabang.
Kepelbagaian bukan bererti perpecahan selagi mana ada asas dan usul yang menyatukan.
Penulis adalah Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost