PEGUAM kepada Dr Zakir Naik, Akberdin Abdul Kader menafikan pendakwah Islam itu ditahan di Oman dan akan dihantar pulang ke India.
Sebaliknya, Akberdin memaklumkan kehadiran Zakir ke Oman adalah dialu-alukan dan disambut dengan protokol rasmi di ibu negara Muscat.
Akberdin berkata, Zakir memaklumkan kepadanya bahawa penahanannya sekadar berita palsu oleh media India yang dikawal kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.
“Beliau telah menghantar mesej kepada saya mengatakan keadaannya selamat dan kini berada di sebuah hotel,” katanya.
Sementara itu, Zakir turut memaklumkan kepada pengikutnya di Facebook bahawa beliau selamat tiba di Oman pada 22 Mac bagi menyampaikan ceramah agama.
Menurut laporan di Times of Oman, beliau dijemput ke Oman untuk siri kuliah oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, (MERA).
Zakir turut menyatakan penghargaan kepada Sultan Oman atas sambutan mesra diterimanya.
Semalam, saluran berita India berbahasa Inggeris News18 melaporkan Zakir akan ditangkap di Oman dan dihantar pulang ke India.
Menurut laporan itu, perisikan India bekerjasama dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan Zakir semalam.
Zakir memegang taraf penduduk tetap di Malaysia dan menetap di Putrajaya.
Pendakwah kontroversi itu dikehendaki untuk disoal siasat di India atas dakwaan pengubahan wang dan kegiatan menyalahi undang-undang lain. – Malaysiapost