PM berbuka puasa bersama 200 rakyat Malaysia di Jeddah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa berbuka puasa bersama-sama 200 rakyat Malaysia yang menetap di Jeddah, Arab Saudi pada hari pertama Ramadan, semalam.

Perdana Menteri yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi tiba di Konsulat Malaysia kira-kira jam 6 petang waktu tempatan.

“Kebetulan kita dapat menyambut Ramadan dan kebetulan dapat beramah mesra dengan saudara-saudari. Semoga kita dapat pulihkan imej negara, angkat martabat umat Islam dalam negara,” katanya.

Beliau diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Terdahulu, Perdana Menteri berpeluang bertemu komuniti perniagaan tempatan dan Malaysia di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam di Jedaah.

Dalam ucapannya, Anwar mempelawa komuniti perniagaan di Arab Saudi untuk lebih banyak melabur di Malaysia berikutan Malaysia mempunyai kerajaan yang stabil dengan dasar yang jelas.

Sementara itu di Facebook, Anwar menzahirkan kesyukuran kerana berpeluang melawat Arab Saudi dalam bulan Ramadan tahun ini.

“Saya bersama delegasi Malaysia menunaikan solat Isyak dan tarawih di Masjid Hassan Enany, Jeddah.

“Semoga kita terus diberi kesihatan dan kesempatan untuk mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini dengan menggandakan ibadah serta amalan, InsyaAllah,” tulisnya.

Perdana Menteri dijangka mengakhiri lawatan rasminya di Arab Saudi hari ini.

Untuk rekod hampir 5,000 rakyat Malaysia tinggal di Arab Saudi dan kira-kira 800 orang daripada mereka berada di Jeddah dan Makkah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights