Sesi cari pendamaian gagal, Puteri Sarah nekad mahu cerai

SESI perdamaian dan mencari titik persefahaman membabitkan Jawatankuasa Pendamai (JKP) antara pengarah, Syamsul Yusof dengan isteri pertama, Puteri Sarah di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini, gagal.

Puteri Sarah berkata, dia nekad dengan keputusan muktamad yang sudah dibuat sejak memfailkan permohonan perceraian di mahkamah dan tiada perkara perlu dibincangkan lagi.

“Saya memang tak nak berjumpa dan berdamai dengan dia (Syamsul). Keputusan saya sejak dulu lagi memang nak bercerai. Cukuplah, saya dah penat. Saya minta dilepaskan.

“Saya sudah penat melayan benda ini bertahun-tahun. Proses selepas ini ikutkan ada sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, April ini.

“Apa yang saya cakap hari ini akan dibawa ke mahkamah. Kalau dia tak nak juga (lafaz cerai), saya akan gunakan hakam,” katanya kepada media di luar pekarangan pejabat Jawi, hari ini.

Puteri Sarah ditemani adiknya, manakala Syamsul membawa sepupunya semasa proses rundingan melibatkan Jawatankuasa Pendamai, sebentar tadi.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengarahkan pasangan Syamsul dan Puteri Sarah Liyana dirujuk kepada JKP.

Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas, memutuskan supaya Syamsul dan Puteri Sarah melantik wakil masing-masing-masing dalam JKP.

Pada 16 Januari lalu, Puteri Sarah memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights