SPRM sahkan Rohana pulang dana AS$10 juta pada kerajaan Malaysia

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah (SPRM) mengesahkan bekas ketua pegawai eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan sudah memulangkan aset dikaitkan dengan dana 1MDB bernilai AS$10 juta (RM44.3 juta) kepada kerajaan Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan, mendedahkan semua aset itu dipulangkan tahun lalu, selepas siasatan agensi itu selesai, lapor FMT.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat Jabatan memaklumkan peguam negara tidak tahu jika Rohana telah memulangkan wang AS$10 juta yang dikaitkan dengan 1MDB.

Beliau menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada Rohana sudah memulangkan dana itu serta berapa banyak aset dikaitkan dengan 1MDB sudah dikembalikan.

April tahun lalu, media melaporkan Rohana yang dikatakan menjalin hubungan selama 10 tahun dengan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang USD10 juta yang diberikan lelaki itu.

Pada satu ketika, Leissner membelanjakan AS$10 juta untuk membeli sebuah rumah di London untuk Rohana selepas wanita itu kecewa kerana dia memutuskan hubungan mereka selama 10 tahun untuk berkahwin dengan model AS Kimora Lee Simmons pada 2013.

Dalam keterangannya Leissner berkata dia membeli rumah itu kerana Rohana mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

Susulan itu media tempatan melaporkan Rohana bersetuju memulangkan aset AS$10 juta itu, tetapi tiada pengesahan rasmi daripada SPRM. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights