ALHAMDULILLAH, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana sekali lagi diberi kesempatan bertemu dengan bulan Ramadan al-Mubarak pada tahun ini.
Berdasarkan tekskKhutbah Jumaat yang disediakan Cawangan Khutbah dan Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), hari ini, khatib mengingatkan jemaah agar mensyukuri anugerah Ramadan.
Ramadan adalah bulan yang amat bermakna bagi seluruh umat Islam dan juga bulan keampunan yang penuh dengan pelbagai ganjaran dan keistimewaan.

“Ramadan adalah anugerah terindah buat umat Muhammad SAW. Bulan yang menyediakan ruang untuk kita kembali kepada kemurnian jiwa insan dengan anugerah keampunan, rahmat, barakah dan ganjaran pahala yang besar.
“Inilah peluang untuk mengembalikan jiwa kehambaan dan ketaatan kepada Allah SWT yang tersedia sepanjang Ramadan,” menurut khutbah itu.
Umat Islam diseru agar menghargai setiap detik waktu Ramadan dengan menunaikan solat fardhu dan tarawih berjemaah di masjid dan surau selain menambah amalan sunat untuk memupuk jiwa kehambaan.

“Sertai halaqah tadarus dan bacalah al-Quran, banyakkan sedekah dan infaq serta hidupkan qiyam pada malam-malam Ramadan.
“Berusahalah untuk istiqamah melakukan semua amalan ini sehingga ke penghujung Ramadan. Gunakan apa juga nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita untuk mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai amalan.
“Antaranya, memuatkan aplikasi al-Quran pada telefon bimbit kita untuk memudahkan kita membaca al-Quran dan memperuntukkan sebahagian wang untuk bersedekah setiap hari di bulan ini,” katanya.
Menurutnya, semua amalan itu harus terjelma dalam paparan nilai, akhlak, adab dan tingkah laku yang mulia dan baik dalam seharian kita menjalani kehidupan.

“Ambillah peluang berbuat baik sebanyak mungkin sama ada dengan menaja atau memberi juadah berbuka puasa kepada jiran tetangga, para pelajar, golongan memerlukan, gelandangan dan fakir miskin bagi meraih ganjaran puasa berlipat ganda.
“Hulurkan juga sumbangan dana dan infak ke tabung ihya’ Ramadan di masjid dan surau dalam kariah kita atau di mana-mana sahaja bagi meraih saham akhirat dalam menjayakan aktiviti pengimarahan di bulan yang mulia ini,” katanya.
Selain itu, bersama kemeriahan Ramadan dengan amal ibadah, isu pemilihan makanan untuk berbuka dan bersahur juga perlu diberi perhatian.

Justeru, khatib mengambil kesempatan untuk mengingatkan para jemaah untuk memastikan tuntutan halalan toyyiban dalam makanan dipandang serius.
“Pastikan makanan diperoleh dari sumber halal dan tiada unsur syubhah. Begitu juga di bazar Ramadan atau mana-mana premis jualan, pilihlah juadah daripada peniaga yang mengamalkan kebersihan dan penyediaan makanan yang berkhasiat.
“Seperkara lagi yang perlu diingatkan ialah elakkan pembaziran makanan dan kawallah nafsu keinginan sewaktu membeli makanan untuk berbuka,” katanya.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah pertama, Ramadan adalah anugerah terbesar buat umat Muhammad SAW yang perlu dihargai dan disyukuri dengan sebaik-baik penghayatan.
Kedua, hargai setiap detik Ramadan dengan ibadah, sedekah, membaca al-Quran dan amal ketaatan dan ketiga, pastikan tuntutan halalan toyyiban diutamakan dalam pemilihan dan penyediaan makanan di sepanjang Ramadan, – Malaysiapost