Tun M persoal apakah Umno sudah diperalat pemimpin durjana

BERIKUTAN program proklamasi orang Melayu yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad dilarang diadakan, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan kebebasan suara orang Melayu kini telah terhakis.

Malah Dr Mahathir mengaitkan Umno turut bersekongkol menghalang program tersebut diadakan.

“Perlembagaan Umno menyebut 3.3 ………. membela kepentingan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, Bumiputera, anak Negeri Sabah dan Orang Asli…(termasuk) perkara dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi sekarang orang Melayu yang rancang melancar proklamasi berkenaan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu pun tidak dibenar.

“Proklamasi yang tidak sentuh kaum lain dianggap rasis.

“Jika orang Melayu tidak dibenar bincang masalah orang Melayu dan tidak boleh sentuh kaum lain, tidak pun boleh bincang akan ajaran agama Islam, maka akan terhapuslah kebebasan bersuara oleh orang Melayu,” katanya di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, empat kali program yang dirancang oleh Dr Mahathir mengenai proklamasi orang Melayu di Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan.

Beliau membidas kerajaan kerana menjadi punca program itu terpaksa dibatalkan.

Dr Mahathir turut menyerang Umno yang didakwanya kini menjadi alat pemimpin tertentu sekali gus hilang arah dalam memperjuang nasib orang Melayu.

“Apakah ini perjuangan Umno. Apakah ini Ummo. Atau apakah Umno sudah diperalat oleh pemimpin yang durjana, yang menjadi Umno alat untuk kepentingan pemimpinnya.

“Umno sudah gugur perjuangan asalnya. Parti Umno tidak ada lagi.

“Yang ada ialah bangkai yang diperalat untuk menyelamat pemimpin yang bergelumang dengan jenayah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights