PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berjaya menjuarai kejohanan sulungya dalam acara 100 meter sejak berkelana di Amerika Syarikat (AS) apabila menjuarai kejohanan Florida State University (FSU) Relays di Tallahassee, Florida.
Pelajar berusia 18 tahun di Universiti Auburn itu meraih kemenangan dalam acara 100 meter (m) yang pertama kali disertai susulan membuat tiga penampilan bagi acara 60m dalam dewan sebelum ini.
Perkembangan terkini mengenai kemenangan Azeem itu dimuat naik laman Twitter Auburn Track & Field.
Acara yang berlangsung awal pagi tadi menyaksikan Azeem pantas meluru ke hadapan meninggalkan sembilan pesaing lain untuk mencatatkan masa 10.32 saat.
Catatan ini jauh daripada catatan peribadinya, namun cukup Azeem meninggalkan dua lagi pesaing terdekat iaitu Andre Ewers (10.49s) dan Trei Thorogood dari Universiti Syracuse (10.51s).
Kejayaan Azeem menjuarai kejohanan ini mampu meningkatkan lagi semangatnya untuk terus memperbaiki prestasi sejak mula berlatih bersama universiti yang terletak di Alabama, sejak Januari lalu.
Pada Ogos tahun lalu, Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan melakar catatan masa 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia. – Malaysiapost