Bau busuk bongkar kegiatan kisar daging kucing

BAU busuk daripada sebuah unit kediaman di Bayu Tasik Kondominium Bandar Sri Permaisuri Kuala Lumpur membongkar kegiatan seorang penyewa yang dipercayai memproses daging kisar disyaki haiwan spesis kucing.

Persatuan Haiwan Malaysia dalam satu kenyataan, bau busuk daripada kediaman berkenaan membuatkan jiran mengadu kepada pemilik premis pada 11 Mac lalu.

Daging kisar disyaki daging kucing

“Kejadian penemuan berpuluh rangka, organ, keratan anggota badan dan daging kisar disyaki haiwan spesis kucing ditemui di sebuah rumah kondominium di Bayu Tasik Kondominium Bandar Sri Permaisuri pada 11 Mac 2023 amat meruntun perasaan.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pemilik premis kediaman tersebut pada 13 Mac 2023 memandangkan beberapa jiran sudah tidak tahan dengan suasana bau yang begitu busuk dari dalam rumah sewa yang dihuni seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati keadaan rumah sewa itu kelihatan amat teruk, tragis dan mengerikan dengan banyak tubuh haiwan bergelimpangan dan sebuah bilik turut dipenuhi bangkai haiwan disyaki kucing yang telah lama mereput.

Bilik kosong dijadikan tempat pembuangan puluhan bangkai haiwan disyaki kucing yang mengering

Menurut persatuan itu, lebih menyedihkan apabila laporan polis yang dibuat pemilik premis di Balai Polis Salak Selatan tidak dilayan dengan alasan pihak polis tidak mempunyai kuasa untuk membuat siasatan dan penguatkuasaan, sedangkan polis sebenarnya boleh menyiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Organ haiwan disyaki organ kucing diawet dalam bekas simpanan plastik

“Bagaimanapun aduan ini akhirnya sampai kepada Persatuan Haiwan Malaysia dan kemudian kami panjangkan kepada Ketua Seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya supaya satu tindakan penyiasatan dapat dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh.

“Jika benar dakwaan terdapat aktiviti kezaliman haiwan iaitu mematikan kucing dengan secara tragis dan mengerikan ini.

“Persatuan Haiwan Malaysia menuntut agar pelaku kezaliman haiwan tersebut diheret ke mahkamah dan didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights