Mangsa banjir Johor tinggal 263 orang

JUMLAH mangsa banjir di Batu Pahat berkurangan kepada 263 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 343 mangsa yang direkodkan 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan semua 64 keluarga itu ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi ketika ini.

PPS berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan Seri Medan (130 orang), Dewan Orang Ramai Yong Peng (79 orang), SA Seri Comel (35 orang) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hua Min (19 orang).

“Sri Medan, Yong Peng, Parit Yaani dan Senggarang adalah kawasan yang masih terjejas banjir sehingga kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPBN turut memaklumkan Sungai Bekok di Empangan Bekok masih berada pada paras amaran dengan bacaan 18.96 meter manakala cuaca di semua 10 daerah di negeri itu dilaporkan cerah pagi ini.

Dalam pada itu, terdapat tiga jalan masih ditutup kepada semua jenis kenderaan iaitu dua jalan di Kluang dan satu di Kulai.

Jalan terbabit ialah Jalan Lingkaran Kahang Barat, Jalan GSA/Chamek dan Jalan Ulu Tebrau – Sungai Tiram. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights