MARA cadang letak pegawai SPRM – Asyraf Wajdi

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) bercadang untuk menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di agensi itu.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi membuktikan komitmen MARA memperkasa integriti selain memastikan urus tadbirnya berada pada tahap terbaik.

Menurutnya, perkara berkenaan telah dibincangkan bersama bekas Gabenor Bank Negara yang juga Ahli Majlis MARA, Tan Sri Muhammad Ibrahim untuk diperhalusi.

“Perkara ini kita akan bincang dalam mesyuarat majlis minggu depan.

“Ini membuktikan komitmen kita terhadap integriti dan tadbir urus yang baik kerana MARA ada agenda yang lebih besar daripada itu, jadi asas-asas ini perlu dibina daripada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa MARA Bersama Media di Hotel Premiera, malam tadi.

Dalam pada itu, Asyraf turut memberikan jaminan untuk sedaya upaya mengelakkan ketirisan, kebocoran dan salah guna kuasa di pelbagai peringkat agensi berkenaan.

Jelasnya, ia bagi memastikan MARA terus cemerlang, selari dengan motonya iaitu merakyatkan MARA. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights